Tahun 2015 bakal melabuh tirai. Lima bulan pertama saya menerajui KPM; memahami Dasar dan Polisi, mengenali serta menjalin hubungan positif dengan pihak pengurusan dan pentadbiran dan menyusuri setiap isu-isu utama pendidikan. Beberapa langkah proaktif telah dibuat sebagai langkah pertama untuk perlaksanaan menyeluruh.
Tahun 2016 bagi saya adalah tahun permulaan untuk memperkasakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, khususnya bagi mengerakkan anjakan Gelombang ke-2 PPPM 2016-2020 (G2 PPPM 2016-2020).
Dalam konteks G2 PPPM tersebut, di antara fokus utamanya ialah menjurus kepada peningkatan profesionalisme pendidik dengan mengambil kira pandangan daripada guru-guru sendiri, meningkatkan akses pendidikan serta inklusif kepada semua kumpulan dan peningkatan kecekapan pengurusan serta pentadbiran di semua peringkat. Objektifnya ialah sudah pasti bagi meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita.
Saya akui banyak cabaran yang akan kita hadapi terutama yang melibatkan kepentingan golongan pendidik itu sendiri yang menjadi pemangkin utama. Justeru, beberapa langkah awal yang telah diambil sebelum ini dalam menangani isu “Duka Lara”, kepelbagaian tugas/tanggungjawab guru, prasarana sekolah, keselesaan dan keselamatan pelajar akan tetap diberi perhatian berterusan untuk penambahbaikan.
Setiap cabaran mempunyai tahap penyelesaian yang berbeza dan mengambil tempoh masa tertentu untuk diselesaikan. Oleh itu, saya berharap agar semua pihak tetap bertindak professional dan tidak menjadikan cabaran itu sebagai halangan.
Semoga dengan bermulanya sesi persekolahan 2016 ini, kita tetap bersama-sama berusaha memperbaiki kelemahan dan menambahbaik kekurangan yang timbul. Selamat Tahun Baharu 2016!
0 comments:
Post a Comment