Sejarah


PENGENALAN
Pusat Kegiatan Guru di daerah Hulu Langat merupakan satu institusi pendidikan di bawah rangkaian Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia. Di seluruh Malaysia terdapat 367 buah Pusat Kegiatan Guru (PKG) yang wujud di setiap daerah dengan dibahagikan mengikut zon. Di daerah Hulu Langat terdapat 5 buah Pusat Kegiatan Guru terdiri dari PKG Semenyih, PKG Cheras, PKG Kajang, PKG Bangi dan PKG Ampang.
Pusat Kegiatan Guru memberi perkhidmatan kepada sekolah di bawah kelompok masing-masing. 

LOKASI

PKG Cheras terletak di kawasan SK Batu Sembilan, Cheras. PKG Kajang di SK Kajang. PKG Bangi pula terletak di SMK Jalan Reko, Bandar Baru Bangi. PKG Semenyih di SK Semenyih manakala PKG Ampang terletak di dalam kawasan SK Taman Kosas, Ampang. 

LATAR BELAKANG
Dari segi sejarah, penubuhan PKG bermula dengan tertubuhnya Pusat Sumber Tempatan (PST) di 302 buah sekolah pada tahun 1978. Pada tahun 1981 PST diubah nama kepada Pusat Media Daerah (PMD) iaitu selaras dengan konsep dan rasional pembukaan empat buah Pusat Sumber Pendidikan negeri (PSPN) di Kedah, kelantan, Trengganu dan Pahang.

Pada tahun 1986, nama PMD telah diubah kepada Pusat Sumber Pendidikan Daerah (PSPD). Setiap PSPD memberi khidmat kepada 15 hingga 20 buah sekolah. Fungsi utama PSPD ialah mengatasi dan memperbaiki jurang perbezaan pencapaian pendidikan luar dan dalam bandar dengan menyediakan perkhidmatan pinjaman alatan, membina bahan pengajaran dan pembelajaran kos rendah. Kementerian Pelajaran berhasrat menjadikan PSPD sebagai agen untuk membiasakan guru-guru khasnya di luar bandar dengan asas teknologi pendidikan.

Seterusnya pada tahun 1990 nama PSPD ditukar kepada Pusat Kegiatan Guru (PKG). Dengan menggunakan peruntukan Bank Dunia, sebanyak 200 buah bangunan PKG telah dibina dan 150 buah lagi telah ditempatkan di bangunan sekolah. Nama PKG dianggap sesuai untuk menggantikan nama Pusat Sumber Pendidikan Daerah bagi mengelak kekeliruan pada istilah ’Daerah’ , memberi gambaran sebenar tentang aktiviti yang dijalankan di pusat tersebut. Pada tahun 1995, PKG telah menerima Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam sebagai pengiktirafan di atas kejayaan yang telah dicapai.

PKG telah diletakkan sepenuhnya dibawah pengurusan PSPN, sementara PSPN pula diletakkan di bawah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran Malaysia.

0 comments:

Post a Comment