Thursday, December 31, 2015

Perutusan Tahun Baharu 2016 Oleh Pengarah Pendidikan Selangor




PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2016

OLEH

PENGARAH PENDIDIKAN

JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SELANGOR

Assalamualaikum WBT,

Salam Sejahtera dan Salam Sehati Sejiwa.

“Transformasi merupakan suatu perjuangan yang amat mencabar. Begitu juga dengan kembara transformasi pendidikan negara yang sedang kita lalui. Oleh yang demikian, setiap seorang daripada kita mesti memainkan peranan masing-masing bagi memastikan generasi masa hadapan dibekalkan dengan ilmu, kemahiran dan nilai-nilai murni untuk menjadi rakyat yang dapat menyumbang bukan sahaja kepada kesejahteraan diri malahan kepada kejayaan negara jua.”

Dato’ Sri Dr. Khair bin Mohamad Yusof

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM)

Alhamdulillah, segala puji selayaknya bagi Allah SWT. Selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad SAW. Terima kasih atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk menukilkan sepatah dua kata menerusi ruangan ini. Saya kongsikan pernyataan Yang Berbahagia Dato’ Sri KPPM agar kita sama-sama terpanggil untuk menyambut hasrat yang dicetuskan oleh beliau tentang kembara transformasi yang sedang kita jalani bagi menjayakan aspirasi yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Justeru, menjadi tanggungjawab kita sebagai warga pendidikan JPN Selangor untuk menilai dan bermuhasabah sejauh mana kerja buat kita dalam menyokong pelaksanaan PPPM terutamanya sepanjang Gelombang Pertama PPPM iaitu dari tahun 2013 hingga 2015 yang memberikan tumpuan ke arah mengubah sistem dengan menyokong guru dan memberikan tumpuan kepada kemahiran utama. Selain itu, persoalan yang perlu kita fikirkan adalah sejauh mana kita Sedar, Faham, Mahu dan Boleh Buat bagi menjayakan inisiatif-inisiatif yang digagaskan dalam PPPM.

Sementelahan, kedatangan tahun 2016 ini memberikan isyarat bahawa kembara transformasi PPPM sudah memasuki ke pintu gerbang Gelombang Kedua yang bermula dari tahun 2016 hingga 2020. Sudah tentu hal ini akan memberikan cabaran baharu apatah lagi pada fasa Gelombang Kedua ini tumpuan akan diberikan pada usaha untuk memacu peningkatan sistem agar dapat mengukuhkan transformasi pendidikan negara kita. Oleh itu, pada tahun 2016 ini, saya yakin tahap kesiapsiagaan warga pendidikan negeri Selangor sudah berada pada tahap Mahu dan Boleh Buat. Seperti yang selalu saya uar-uarkan; “Hasil yang luar biasa datangnya daripada usaha yang luar biasa”, itulah pegangan serta iltizam yang seharusnya tersemat pada setiap warga pendidikan bagi memastikan kita dapat merealisasikan slogan Pendidikan Selangor Terbilang.

Pada kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga pendidikan negeri Selangor, sama ada di JPN, PPD, BTPN, PKG atau di sekolah-sekolah, atas kerjasama dan sumbangan yang telah diberikan sepanjang tahun 2015. Tanpa sumbangan dan komitmen daripada semua sudah tentulah agak sukar untuk kita melaksanakan segala agenda transformasi bagi melonjakkan pendidikan di negeri Selangor yang kita cintai ini. Akhir sekali saya ungkapkan kata-kata pujangga terkenal Hamka:

“Jangan takut jatuh, kerana hanya mereka yang tidak pernah memanjatlah yang tidak mengenal erti jatuh; Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah mereka yang tidak pernah melangkah dan mencuba”

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, Wassalamualikum WBT.

ZAINUREN BIN MOHD NOR SMP, AAP

Pengarah Pendidikan

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor

0 comments:

Post a Comment